Friday, April 30, 2010

Mengenal Diri Sendiri

BANYAK MENYOAL DAN JAWAB DENGAN JUJUR

ORANG yang bijaksana berkawan dengan melupakan kepentingan dirinya, sebaliknya orang yang tamak berkawan dengan tidak melupakan kepentingan dirinya. Persoalan besar yang perlu dijawab, adakah anda mengenali diri anda sendiri? Mengenali diri merupakan perkara pokok bagi setiap individu yang ingin berjaya. Berjaya sebagai insan memerlukan anda berubah daripada perkara yang tidak baik kepada perkara yang lebih baik.

Perubahan yang ingin dilakukan memerlukan anda merenung sejenak tentang siapa anda.

Memikir dan menganalisis secara jujur tentang perilaku, tabiat dan keperibadian diri. Mengenal diri sendiri boleh dicapai melalui penganalisaan yang dibuat secara ikhlas dengan niat untuk membaiki diri. Mengenal diri tidak akan sempurna tanpa mendengar pandangan atau pendapat orang di sekeliling kita. Kesanggupan menerima kritikan, pandangan atau teguran akan dapat menjelaskan keadaan diri kita yang sebenar. Anda mungkin boleh bertanya:

· Apakah kekuatan anda?

· Apakah Kelemahan anda?

· Apakah cita-cita anda?

· Apakah kehendak anda?

Proses mengenal diri tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Kita sering mendengar rakan pekerja mengesahkan tentang keadaan mereka seperti berikut:

· Saya memang pemarah

· Saya seorang yang pendiam

· Muka saya sememangnya masam

· Saya sukar bergaul dengan yang baru dikenali

Si bodoh tidak akan dapat melihat pokok yang dilihat oleh orang bijak, untuk berjaya kita perlu membuang sikap negatif yang telah kita kenal pasti. Mungkin proses ini merupakan episod yang paling sukar dalam kehidupan kita. Sememangnya satu kesilapan untuk mengaku bahawa kesemua sifat itu lahir secara semulajadi. Banyak tabiat atau tingkah laku yang boleh diubah dengan kemahuan dan keazaman yang tinggi seperti tindakan berikut:

· Mengenal diri melalui orang lain

· Bertanyakan kepada rakan sekerja yang paling rapat dengan anda

· Amati kata-kata ketua ketika mereka sedang memarahi atau menasihati anda

· Dengarlah komen daripada musuh anda

· Bertanyalah pendapat ketua atau rakan tentang anda

· Susun dan atur maklumat yang diperolehi

· Fikir dan tentukan kebenarannya

· Anggaplah komen atau maklumat negatif sebagai harta yang amat berharga

Keinginan untuk berubah akan membentuk personaliti diri yang baik. Sebagai pekerja, personaliti yang berjaya biasanya berkisar kepada beberapa ciri yang unggul. Antaranya adalah seperti berikut:

· Kesediaan untuk bekerja kuat

· Kesabaran menghadapi kesukaran

· Kesanggupan membantu rakan sekerja

· Keupayaan memberi motivasi kepada diri sendiri

· Kesungguhan menyiapkan tugasan dengan sempurna

Sifat-sifat ini perlu ada dalam diri individu yang ingin melangkah lebih jauh. Pencarian tentang kekuatan dan kelemahan diri yang disusuli dengan keinginan untuk menjadi yang terbaik akan terpancar dalam jiwa pekerja yang inginkan kecemerlangan. Kejayaan dalam kehidupan biasanya dipengaruhi oleh seseorang yang telah berjaya. Lihat dan kajilah kejayaan yang telah dicapai oleh pelbagai tokoh perniagaan, pemimpin dan ahli akademik. Dalam kebanyakan kes mereka semua menunjukkan keazaman, kekuatan dan ketabahan dalam proses mengejar kejayaan. Setiap pekerja perlu mempunyai model kejayaan. Ini boleh dilakukan dengan membaca, melihat dan mendengar cerita perihal kejayaan mereka yang telah berjaya.Membaca buku yang menceritakan tokoh-tokoh terkenal perlulah dijadikan amalan di kalangan para pekerja. Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah:

· Cara dan kaedah mereka bekerja

· Bagaimana mereka mendaki tangga kejayaan

· Dorongan yang mereka perolehi untuk menghasilkan kejayaan

· Sifat diri yang dipamerkan oleh mereka

· Bagaimana mereka menghadapi halangan

· Penglihatan mereka dalam pelbagai kegiatan semasa bekerja

Bijaksana ialah puncak daripada persahabatan yang kekal Sikap seseorang merupakan mainan minda. Cuba bayangkan suasana yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai. Anda terpaksa berkongsi mungkin bilik, kemudahan pejabat, tandas dan udara dengan rakan yang lain, Apakah yang boleh anda bayangkan? Soalan ini sekiranya ditanya akan menghasilkan antara jawapan berikut:

· Saya akan berhadapan dengan masalah perhubungan dengan rakan sekerja

· Saya suka bersendirian, sudah pasti saya akan berhadapan dengan tekanan

· Saya suka suasana senyap tetapi suasana di sini bising

· saya suka penghawa dingin yang sejuk tetapi rakan suka lebih kepada sederhana suhunya

Jawapan yang diberi merupakan pandangan spontan pekerja. Hampir kesemua pekerja memikirkan perkara yang negatif terlebih dahulu. Mereka berebut-rebut untuk menyatakan kisah yang tidak menyeronokkan. Jika minda anda telah berkata, anda akan menghadapi masalah, sebahagian besar daripada masalah itu telah mula berada di dalam diri anda. Sikap negatif ini akan memberi kesan kepada perwatakan anda dalam menghadapi proses melaksanakan kerja. Memandangkan sikap seseorang itu bergantung kepada minda, anda perlu melihat sesuatu masalah atau kemungkinan masalah dari sudut yang berbeza. Bagaimana jika saya melihat kemungkinan keadaan di atas dari sudut yang lain pula, misalnya:

· Rakan sekerja yang ramai mungkin boleh membantu saya dalam pelaksanaan kerja

· ini lah peluang untuk cuba mengubah diri menjadi lebih sosial

· merupakan kebiasaan apabila manusia berkumpul akan wujud sedikit kebisingan

· tiada orang yang sama dalam menerima perubahan persekitaran, belajar bertolak ansur akan membolehkan saya dihormati

Diolah hasil tulisan dalam akhbar Berita Harian 20-10-2005

No comments:

Post a Comment